Monday 10 October 2011

Amalan Membaca

MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat. Ilmu adalah sesuatu yang amat bernilai untuk kehidupan manusia. Ilmu ibarat cahaya yang menyinari kegelapan, justeru itu Islam menggalakkan umatnya supaya berusaha mencari dan menimba ilmu sebanyak-banyaknya. Kepentingan ilmu itu sangat jelas apabila Allah Subhanahu Wataala menurunkan ayat yang mula-mula sekali kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Surah Al 'Alaq tafsirnya : "Bacalah wahai Muhammad dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku, bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahui-Nya". Allah Subhanahu Wataala juga mengajarkan hamba-hamba-Nya supaya berdoa kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Thaahaa ayat 114 tafsirnya : "Dan berdoalah dengan berkata : Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". Di samping itu juga Allah Subhanahu Wataala awal-awal lagi mengingatkan hamba-hamba-Nya dengan firman-Nya dalam Surah Az-Zumar ayat 9 tafsirnya : "Katakanlah lagi kepada-Nya : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna". Dari ayat tersebut jelas bahawa ilmu itu sangat penting kerana dengan ilmu seseorang itu boleh maju, membangun, bukan saja untuk dirinya tetapi untuk masyarakat dan negaranya. Tiada guna memiliki harta yang banyak jika tiada berilmu kerana harta itu tidak akan berkembang dan bermanfaat. Bahkan boleh menyebabkan pemiliknya tertipu dan terpedaya. Ketahuilah bahawa kedudukan orang yang berilmu itu adalah tinggi di sisi Allah Subhanahu Wataala sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Mujaadilah ayat 11 tafsirnya : "Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan". Allah Subhanahu Wataala menganugerahkan akal kepada manusia untuk membezakan manusia dengan haiwan. Dengan akal manusia boleh berfikir dan membezakan mana yang hak, mana yang batil, mana yang benar, mana yang salah. Akal akan lebih berkembang jika diberi ilmu pengetahuan kerana dengan ilmu pengetahuan perjalanan hidup dapat diurus dengan betul dan sentiasa berjalan di atas kebenaran mengikut petunjuk Allah Subhanahu Wataala. Semua orang sedar bahawa zaman sekarang adalah zaman kemajuan sains dan teknologi yang memerlukan kepada ilmu pengetahuan yang tinggi dan luas. Islam tidak menghalang umatnya menuntut apa jua bidang ilmu pengetahuan, baik ianya bidang perubatan, bidang pertanian dan lain-lain bidang yang diperlukan. Tetapi perlu diingat bagi kita umat Islam tidaklah dapat sekali-kali meninggalkan tuntutan ilmu Fardhu 'Ain yang merangkumi aqidah, ibadat dan akhlak. Dengan demikian sahajalah seseorang akan mencapai kebahagiaan dan kemajuan hidup di dunia dan di akhirat. Berdasarkan kepada pengalaman dan kenyataan, segulung ijazah belum tentu dapat menjanjikan seseorang itu menjadi ilmuan dan ahli fikir yang berkaliber dan berwibawa, jika tidak mengamalkan segala ilmu yang telah dipelajarinya dan tidak mengamalkan pembacaan yang berterusan. Oleh itu jika mahu ilmu itu berkembang dan meningkat, idea bernas, pandangan jauh, maka sudah setentunya memerlukan kepada pembacaan yang banyak dan luas. Oleh itu jadikanlah budaya membaca itu satu amalan setiap masa dan sepanjang hayat. Dalam usaha menggerakkan amalan membaca ini, ibu bapa berperanan untuk memberikan contoh terbaik kepada anak-anak mereka kerana ibu bapa yang suka membaca adalah sebagai pendorong kepada anak-anak mereka jadi suka membaca. Melihat betapa kesedaran membaca itu perlu dipupuk kepada generasi yang ada sekarang khususnya kanak-kanak dan belia-belia, maka Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai sebuah agensi kerajaan yang berkait rapat dengan bidang pembacaan ini telah mengungkayahkan Projek Bulan Membaca sepanjang bulan Jun 2006, dengan tema 'Memperkasa Budaya Membaca'. Peluang inilah yang perlu diambil oleh ibu bapa, kanak-kanak dan belia-belia pada membiasakan diri mereka berdamping dengan buku-buku dalam usaha memupuk anak-anak mereka supaya minat membaca. Walau bagaimanapun perlu juga diambil perhatian agar bahan-bahan bacaan itu ialah buku-buku yang berfaedah dan boleh menambah pengetahuan, bukan buku yang boleh merosak minda dan menyesatkan. Akhirnya marilah kita sama-sama meninggikan ilmu pengetahuan yang berguna, nescaya kita akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Di samping itu jangan lupa ilmu-ilmu yang bermanfaat itu hendaklah diajarkan dan diamalkan. Semoga diri, bangsa agama dan negara kita akan maju jaya dan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wataala. Amin Yarabbalalamin. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali 'Imran ayat 7 tafsirnya : "Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuan-Nya dalam ilmu-ilmu agama berkata : Kami beriman kepada-Nya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran".

No comments:

Post a Comment