Monday, 10 October 2011

Sikap Hormat Menghormati

Dalam menuntut ilmu, sikap hormat menghormati adalah sesuatu yang sangat dituntut. Kita bukan sahaja wajib hormat kepada ibu-bapa,guru-guru malah kepada rakan-rakan sekolah. Saling hormat-menghormati bermaksud kita bukan sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita, tetapi dalam masa yang sama kita perlu menghormati orang lain. Kita perlu hormat pendapat orang lain walaupun pendapat itu tidak sama dengan kita. Apabila kita saling hormat-menghormati, kita akan menjadi seronok untuk belajar. Pelajaran mudah masuk ke dalam minda kita. Kita tidak berasa takut apabila berada di sekolah. Bagaimana caranya untuk mengamalkan budaya ini? Pertama sekali kita jangan memperkecilkan/merendah-rendahkan kebolehan orang lain. Begitu juga dengan pendapat mereka. Kita juga perlu mewujudkan kerjasama dengan rakan-rakan bagi membentuk persefahaman. Sikap sopan santun perlu dimantapkan pada diri kita terutama apabila kita berada dalam organisasi seperti di sekolah. Kita juga perlu sedar, di dunia ini kita hidup dilingkungi dengan peraturan dan undang-undang. Undang-undang buatan manusia dan juga undang-undang Allah. Apabila kita sedar tentang peraturan, maka kita sebenarnya boleh mewujudkan suasana yang harmoni di sekolah dengan sikap hormat-menghormati menjadi tunjang . Jangan sesekali bersikap emosional apabila berlaku sebarang perbezaan pendapat. Perbezaan pendapat adalah normal, tetapi bagaimana kita hendak mengawal emosi kita ketika berada dalam situasi tersebut itulah yang lebih penting. Oleh itu, amalkan budaya hormat-menghormati supaya hidup kita lebih ceria, gembira, seronok, mudah mempelajari ilmu, tidak ada musuh dan yang paling penting hidup kita dirahmati Allah. Dicatat oleh tintacikgu di 8:27 PM

No comments:

Post a Comment